Skip to main content
Jom Kebun

Tanam Sayur Sawi Dalam Pasu, Tanpa Baja Boleh Subur Wow !!!

By July 20, 2023No Comments

Bila dapat bercucuk tanam di rumah rasa seronoknya sebab boleh dijadikan terapi kita mak-mak di rumah. Selain itu dapat jimatkan belanja dapur kan, pergi pasar atau pasaraya beli sayur pun boleh habis berbelas ringgit untuk stok seminggu. Tak perlu batas pun tak apa, tanam dalam pasu je. Ticer nak kongsikan cara tanam sayur sawi guna pasu. Ticer tak guna baja apa pun, hanya guna tanah yang berkualiti supaya dapat beri nutrisi pada pokok sayur ticer.

Selain sayur sawi, terdapat juga beberapa jenis sayur mudah tanam dalam pasu seperti :

  1. Kangkung
  2. Bayam
  3. Bendi
  4. Terung
  5. Salad

Pengenalan Botani

Nama biasa : Sawi Bunga

Nama saintifik : Brassica Rapa

Keluarga : Brassicaceae

Sawi bunga merupakan sayuran berwarna hijau, renek dan berbatang lembut. Menghasilkan bunga berwarna kuning dan boleh dimakan. Merupakan tumbuhan semusim iaitu selepas tempoh matang ianya akan mengeluarkan bunga dan biji benih kemudian mati.

Kebiasaannya sayur sawi akan direbus, dikukus, dan digoreng (stir fry) sebagai hidangan. Pelbagai khasiat yang terkandung dalam sayur sawi serta dapat beri kebaikan terhadap kesihatan otak dan tubuh badan.

Khasiat Sayur Sawi

Kaya antioksida

Antioksida terhasil secara semulajadi dalam tumbuhan yang berfungsi untuk melawan radikal bebas dalam badan. Pencemaran, asap rokok, ubat-ubatan dan radiasi antara sumber utama pembentukan radikal bebas.

Sumber vitamin K

Vitamin K penting dalam proses pembekuan darah dan mengelakkan pendarahan yang berlebihan. Dalam sawi mentah terdapat 221.4 µg vitamin K manakala 592.7 µg vitamin K pula terdapat dalam sawi yang telah dimasak (satu cawan).

Tingkatkan daya ketahanan badan

Selain terdapat kandungan vitamin K, sawi bunga juga ada vitamin C dan vitamin A berfungsi untuk meningkatkan daya ketahanan badan.

Kita mudah jatuh sakit sekiranya kandungan vitamin C kurang dalam badan kerana ianya boleh melemahkan sistem imun badan.

Vitamin A pula berfungsi dengan menggalakkan penghasilan sel darah putih bagi melawan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan

Kesihatan jantung

Kandungan antioksida seperti beta carotena dan flavonoid juga membantu dalam mencegah risiko penyakit jantung. Penyediaan sawi secara kukus dapat mengurangkan kolesterol dalam darah.

Kesihatan mata

Dalam sawi juga terdapat lutein dan zeaxanthin berfungsi sebagai penapis sinaran biru yang boleh merosakkan retina mata. Selain itu juga ianya dapat mengurangkan risiko Age-Related Macular Degeneration (ARMD) iaitu penyebab kebutaan di kalangan warga emas.

Tinggi serat

Sayur sawi tinggi kandungan serat tidak larut dan ianya dapat melembutkan najis serta melancarkan pergerakan usus. Pengambilan serat yang mencukupi dapat kurangkan risiko sembelit, kencing manis dan yang paling penting tahan kenyang lebih lama.

Kebun Di Rumah

Tip mudah tanam daun kesum dalam pasu

Cara tanam sayur sawi guna pasu

Persediaan awal semai biji benih sawi

Sebelum bermula kita siapkan keperluannya dulu, seperti :

  1. Biji benih
  2. Pasu
  3. Media tanaman

Bagi tanaman yang mudah bercambah seperti sawi, bayam, kangkung dan bendi boleh terus semai atas tanah hanya perlu pastikan media tanah yang digunakan adalah bersesuaian dengan tanaman. Media tanaman yang ticer suka guna ialah dari campuran tanah sawit dan tanah bakar dalam nisbah 3:2.

Pertama – Isikan media tanah ke dalam pasu, sekiranya tidak ada pasu boleh juga gunakan polibeg.

Kedua – Taburkan biji sawi bunga di atas permukaan tanah dalam pasu tadi.

Ketiga – Kambus sedikit tanah pada biji benih tadi agar tenggalam sedikit, tidak terdedah dipermukaan untuk elak semut atau siput merosakkan biji benih yang disemai.

Keempat – Basahkan media tanah tadi dengan air sedikit. Agak-agak permukaan tanah dan biji benih tadi basah. Jangan pula siram sampai banjir, lemas benih-benih dalam tu nanti.

Lepas siap proses menyemai, letak kan pasu semaian tadi di tempat teduh. Elakkan terkena panas matahari ya supaya media tanaman tadi tidak kekeringan dek mentari.

Benih dah bercambah!! Nak buat apa lepas tu

Selepas tiga hari benih mula bercambah menjadi anak pokok, ticer tunggu sampai daun nya kelihatan 4 – 5 helai kemudian baru pindahkan anak-anak pokok ke dalam pasu lain.

Hati-hati semasa proses memindahkan anak pokok sawi ke dalam pasu ya, pastikan seluruh bahagian akar dipindahkan sekali dan tidak tercabut atau terpotong.

Buat lubang pada tanah untuk memudahkan anak pokok dipindahkan. Pastikan satu pasu muat dalam 2 – 5 anak pokok sahaja untuk elakkan persaingan antara pokok mendapatkan ruang, air dan nutrisi apabila membesar nanti.

Lakukan penyiraman dua kali sehari iaitu diawal pagi dan lewat petang kerana sayur sawi suka pada tanah yang lembap

Artikel Berkenaan

Sayur mayong

Perlu dibaja atau tidak?

Selama ticer jadi pekebun kota ni tak pernah guna baja untuk suburkan tanaman, ticer cuma tabur baja kopi atau baja tahi ayam untuk rawat tanah selepas menuai hasil tanaman. Makna kata sebelum nak tanam yang baru, ticer letak baja untuk rawat tanah yang dah digunakan. Tambah balik nutrisi dalam tanah.

Sekiranya anda perlukan baja untuk tanaman, ticer sarankan guna baja organik seperti baja kompos atau baja tahi ayam setiap dua minggu sekali. Jadi dalam sebulan cukup 2 kali pembajaan sahaja.

Ticer memang pengguna tanah sawit sejak beberapa tahun lepas. Sebelum tu ticer hanya gunakan tanah hitam, tanah bakar dan tanah campuran Green Mary 6-in-1 beli di Nilai Landscape. Sejak kenal tanah sawit memang ticer tak cari lain dah.

Manfaat tanah hitam sawit untuk tanaman

Tanah hitam sawit ini pada asalnya sudah tersedia dengan mineral dan zat dari sisa sawit yang terkompos. Ianya dapat meronggakan struktur tanah untuk jangka masa panjang, ini disebabkan dalam tanah hitam sawit masih ada sisa-sisa tandan dan tempurung kelapa sawit yang tidak hancur sepenuhnya.

Serat-serat pada buah dan tandan kelapa sawit yang sudah terkompos membantu penyerapan air untuk tempoh lama berbanding tanah biasa.

Selamat mencuba ya!

Jom Baca

Tips pilih sayur
FarahSamad

Author FarahSamad

More posts by FarahSamad

Leave a Reply

error: Content is protected !!